Lelaki ditahan cuba seleweng 200 liter diesel

FOTO KPDN PERAK

IPOH, 1 Mei – Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel di sebuah stesen minyak di Salak, Sungai Siput, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Tiris 4.0 KPDN Perak menemui dua tong dram berisi kira-kira 200 liter diesel semasa pemeriksaan.
  • Suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran, lesen atau permit sah bagi menyimpan bahan kawalan; dua tong dram lagi kosong.
  • Penguat kuasa merampas diesel, tong dram, dokumen dan kenderaan, nilai rampasan dianggarkan melebihi RM31,000; kes disiasat di bawah Seksyen 21.

Penahanan dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerusi Op Tiris 4.0.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamaludin Ismail berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek berusia 46 tahun itu didapati sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan dua tong dram berisi kira-kira 200 liter diesel, manakala dua lagi tong dram didapati kosong,” katanya.

Menurut beliau, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran, lesen atau permit sah bagi menyimpan barang kawalan tersebut.

Pasukan penguat kuasa turut menyita minyak diesel, tong dram, dokumen berkaitan serta kenderaan yang digunakan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM31,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.