Wanita Thailand didenda RM7,000 beli 10kg minyak masak peket

FOTO KPDN

ALOR SETAR, 1 Mei – Seorang wanita warga Thailand didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku bersalah membeli 10 paket minyak masak polibeg satu kilogram, pada 14 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Minyak Masak) 2026.
  • Peraturan melarang individu bukan warganegara membeli minyak masak bersubsidi.
  • Jika sabit, hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya; pendakwaan dikendalikan Mohd Sayuti Anuar Ismayatim, KPDN Kedah.

Tertuduh, Miss Aswa Useng, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membeli barang kawalan iaitu minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram sebanyak 10 paket dengan jumlah keseluruhan 10 kilogram melalui satu resit pembelian, sedangkan individu bukan warganegara dilarang membeli minyak masak bersubsidi berkenaan.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Mohd Sayuti Anuar Ismayatim.