Ekuinas lancar Capacity Building perkasa syarikat Bumiputera

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 MeiEkuiti Nasional Berhad terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa syarikat bumiputera menerusi program Capacity Building, sebagai inisiatif pembangunan perniagaan berpotensi tinggi dalam segmen pasaran pertengahan rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Matlamat program percepat pembangunan syarikat menjadi lebih berdaya saing, berdaya tahan dan sedia menerima pelaburan melalui model penciptaan nilai.
  • Penilaian menyeluruh terhadap strategi perniagaan, penjenamaan, rantaian bekalan dan teknologi maklumat bagi aspek kritikal sukar dilaksanakan sendiri.
  • Ekuinas menyediakan konsultansi, sistem dan akses pasaran untuk memantapkan daya saing serta kemampuan syarikat mengumpul dana secara kendiri.
  • Pelaksanaan tiga tahun; memilih sehingga tiga syarikat setahun dengan fokus strategi kewangan, sumber manusia, jualan, operasi dan pematuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Nasional Bhd, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, program itu bertujuan mempercepat pembangunan syarikat untuk menjadi lebih berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menerima pelaburan menerusi model penciptaan nilai.

“Melalui program ini, kami akan menilai syarikat dari sudut strategi perniagaan, penjenamaan, rantaian bekalan serta teknologi maklumat, khususnya aspek-aspek kritikal yang sukar dilaksanakan sendiri oleh syarikat.

Ekuinas akan membantu dari segi konsultansi, sistem dan akses pasaran, dengan matlamat untuk menjadikan syarikat-syarikat ini lebih berdaya saing serta berupaya mengumpul dana secara kendiri pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita RTM.

Tambah beliau, program itu juga merupakan teras strategik ketiga Ekuinas, melengkapi portfolio ekuiti persendirian dan kredit persendiriannya dan bakal dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.

Menerusi program itu, sehingga tiga syarikat akan dipilih setiap tahun dengan kriterianya perlu merekodkan hasil tahunan antara RM15 juta hingga RM50 juta serta mempunyai rekod prestasi yang kukuh.

Antara bidang utama yang diliputi menerusi program berkenaan ialah strategi kewangan, sumber manusia, jualan dan pemasaran, operasi serta pematuhan kawal selia.

Ia turut melibatkan kerjasama rapat dengan pihak pengurusan syarikat, termasuk pelaksanaan intervensi bersasar bagi meningkatkan disiplin operasi, keberkesanan organisasi dan kepimpinan.

Selain itu, program tersebut juga disokong menerusi inisiatif pemadanan pelabur serta pengukuhan akses kepada ekosistem pelaburan bagi meningkatkan kesiapsiagaan syarikat mendapatkan pembiayaan dan akses kepada modal.