MFL sasar sifar tunggakan gaji menjelang 2027–2028

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pelaksanaan FFP yang bermula musim ini menunjukkan perkembangan positif./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 April – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyasarkan isu tunggakan gaji melibatkan kelab Liga Malaysia dapat ditangani sepenuhnya dalam tempoh dua musim akan datang menerusi pelaksanaan Peraturan Kewangan Adil (FFP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan FFP bermula musim ini menunjukkan perkembangan positif, kejayaan bergantung kepada komitmen berterusan semua kelab.
  • FFP memberi gambaran jelas kedudukan kewangan; sebahagian besar kelab merekodkan pendapatan melebihi perbelanjaan dan pemantauan kini bulanan.
  • Meja bulat bincang tadbir urus, kewangan, kelewatan gaji, kos operasi, serta meneliti cadangan pemilik JDT mengenai usaha kembalikan bola sepak kepada rakyat.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pelaksanaan FFP yang bermula musim ini menunjukkan perkembangan positif, namun kejayaannya bergantung kepada komitmen berterusan semua kelab.

Beliau berkata FFP kini memberikan gambaran lebih jelas terhadap kedudukan kewangan kelab, dengan sebahagian besar mencatat pendapatan melebihi perbelanjaan.

“Semua kelab diminta terus komited. Dalam tempoh dua musim lagi, memasuki musim 2027–2028, tiada lagi isu pembayaran gaji dan kelab mampu mengurangkan liabiliti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga Malaysia di sini, semalam.

Menurut Datuk Ab Ghani, FFP dilaksanakan dalam tempoh tiga musim dan pemantauan akan diperketat bagi memastikan semua kelab mematuhinya dengan baik.

“Semakan sebelum ini dibuat setiap tiga bulan, namun saya telah minta supaya pemantauan dilakukan setiap bulan,” katanya.

Perbincangan itu diadakan susulan gesaan beberapa kelab yang mahukan satu platform rasmi bagi membincangkan isu kritikal termasuk tadbir urus, kewangan dan hala tuju liga.

Antara isu berulang yang dibangkitkan ialah kelewatan pembayaran gaji pemain serta peningkatan kos operasi yang menekan kelab.

Dalam perkembangan sama, Datuk Ab Ghani berkata MFL bersama rakan kongsi liga akan meneliti cadangan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan usaha “mengembalikan bola sepak kepada rakyat”.

“Tunku Mahkota Ismail ada kemukakan cadangan, namun semua pihak diminta meneliti terlebih dahulu sebelum dibincangkan semula bagi membuat keputusan,” katanya. – BERNAMA