Johor sasar juara keseluruhan SUKMA 2026

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Md Shah./foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 30 April – Kontinjen Johor bertekad untuk merampas semula gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor dengan sasaran mengatasi pencapaian edisi 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontinjen Johor akan membabitkan lebih 800 atlet dan pegawai.
  • Persiapan atlet kini hampir memasuki fasa akhir menjelang temasya 15 hingga 24 Ogos.
  • Pengumuman khas Menteri Besar dijangka termasuk insentif bagi menyuntik semangat atlet, jurulatih dan kakitangan sokongan.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, kontinjen negeri kali ini akan membabitkan lebih 800 atlet dan pegawai.

Menurut beliau, persiapan atlet kini hampir memasuki fasa akhir menjelang temasya yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

“Insya-Allah pada Isnin ini, ada pengumuman khas daripada Menteri Besar Johor buat atlet, jurulatih dan staf sokongan SUKMA 2026. Mungkin ada insentif sebagai suntikan semangat untuk menuai pingat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pasukan Ragbi Johor Piala Agong 2026 di Johor Bahru.

Kerajaan negeri turut dijangka mengumumkan insentif khas sebagai galakan kepada kontinjen Johor dalam usaha mencapai sasaran pingat pada temasya berkenaan.