Pemansuhan caj RM1 pengeluaran tunai ATM, kurangkan beban pengguna

Pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kurangkan beban rakyat. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan Smart Recycler Machine (SRM) bermula 1 Julai ini dapat bantu kurangkan beban kos harian rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemansuhan caj RM1 membantu kurangkan beban kos harian pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah.
  • Menurut Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, walaupun kecil nilai, pemansuhan tetap memberi impak ketara.
  • Langkah meringankan beban warga emas dan pengguna yang masih bergantung kepada wang tunai.
  • Menyokong keterangkuman kewangan dengan akses perbankan lebih mampu milik dan pengeluaran tanpa had di lebih 14,000 ATM/SRM.

Menurut Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, walaupun nilai caj tersebut dilihat kecil, langkah berkenaan tetap memberi manfaat kepada pengguna.

“Walaupun pemansuhan caj RM1 ini dilihat kecil nilainya dan penjimatan yang diperoleh mungkin tidak begitu besar, ia sebenarnya tetap memberi impak yang ketara kepada pengguna.

“Walaupun majoriti rakyat telah beralih kepada transaksi tanpa tunai dan pembayaran dalam talian, masih terdapat golongan yang bergantung kepada penggunaan wang tunai, terutama warga emas.

“Apabila mereka perlu mengeluarkan wang di ATM dan dikenakan caj RM1 bagi setiap transaksi, ia menjadi beban tambahan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah. Justeru, pemansuhan caj ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang masih memerlukan wang tunai untuk urusan harian,” katanya kepada RTM.

Tambahnya, langkah tersebut turut menyokong usaha memperkukuh keterangkuman kewangan dengan memastikan akses kepada perkhidmatan perbankan lebih mudah dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.

Bermula 1 Julai 2026, pemegang kad debit tidak lagi dikenakan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di ATM dan SRM seluruh negara menerusi inisiatif yang diumumkan industri perbankan bersama Payments Network Malaysia (PayNet).

Langkah tersebut membolehkan pengguna membuat pengeluaran tunai tanpa had di lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad debit mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.