Pasukan khas pantau 3R menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 16 Jun – Sebuah pasukan khas akan diwujudkan bagi menjalankan pemantauan terhadap penyebaran kandungan berunsur 3R (Raja, Agama dan Kaum) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor dan Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama erat antara MCMC, PDRM dan SPR diperkukuh untuk membendung isu 3R.
  • Pelanggaran fizikal sepanjang tempoh berkempen diserahkan kepada PDRM atau SPR untuk tindakan.
  • MCMC akan ambil tindakan tegas terhadap penyebaran 3R dalam talian berdasarkan undang-undang jika menerima aduan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus diperkukuh dalam usaha membendung perkara itu.

Katanya, kerjasama erat antara ketiga-tiga agensi sudah lama dilaksanakan bagi memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan terkawal dan mematuhi undang-undang.

“Sekiranya pelanggaran atau kesalahan yang menyentuh isu 3R berlaku secara fizikal sepanjang tempoh berkempen rasmi, tindakan akan diserahkan kepada PDRM atau SPR.

“Sebarang provokasi atau kesalahan fizikal yang dikesan sebelum tempoh berkempen bermula pula berada di bawah bidang kuasa penuh PDRM,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Bagi penyebaran kandungan berbaur 3R secara dalam talian sama ada menerusi siaran langsung atau rakaman video, Datuk Fahmi berkata MCMC akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya menerima aduan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan berhemah,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.