
KOTA BHARU, 16 Jun – Perbincangan mengenai kawal selia platform media sosial termasuk sekatan had umur penggunaan di bawah 16 tahun antara Malaysia dan United Kingdom (UK) telah berjalan sejak lebih dua tahun lepas.
- MCMC dan Ofcom mengadakan rundingan mengenai kawal selia dan pelesenan platform media sosial.
- Ofcom memuji usaha Malaysia melalui MCMC mengenakan pelesenan platform media sosial sebagai langkah yang baik.
- Pengumuman UK larang kanak-kanak bawah 16 tahun menunjukkan negara lain turut mengambil pendekatan serupa; platform dianggap tidak selamat untuk mereka.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata rundingan dan pertukaran pandangan berkenaan melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama badan kawal selia UK iaitu Ofcom.
Beliau berkata pada peringkat awal perbincangan, Ofcom melihat usaha kerajaan Malaysia melalui MCMC untuk mengenakan pelesenan kepada platform media sosial sebagai satu langkah yang amat baik.
“Memang perbincangan dengan pihak Ofcom telah berjalan, dan kita turut mengalu-alukan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri United Kingdom (Keir Starmer),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi Negeri Kelantan di sini hari ini.
Semalam, Starmer mengumumkan kanak-kanak bawah 16 tahun akan dilarang daripada mengakses semua aplikasi media sosial utama.
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi berkata tindakan diambil UK jelas menunjukkan bahawa semakin banyak negara kini mula mengambil keputusan dan pendekatan yang sama seperti Malaysia.
Perkembangan terbaharu menurutnya, sekali gus membuktikan bahawa platform media sosial secara amnya tidak selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak yang berusia di bawah 16 tahun. – BERNAMA