Laporan perubahan tingkah laku DAK diserah kepada NRES, pertimbang dibawa pulang tanah air

Laporan perubahan tingkah laku DAK membantu kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya / Foto Facebook Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

PUTRAJAYA, 16 Jun – Hasil laporan yang sediakan oleh pakar pemuliharaan gajah antarabangsa, Dr. William Keith Lindsay terhadap perubahan kelakuan tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang dihantar ke Jepun pada Mac lalu, telah diserahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan merangkumi penelitian 155 jam rakaman video tingkah laku di Zoo Tennoji.
  • Analisis video membolehkan pemerhatian menyeluruh tanpa lawatan fizikal ke zoo.
  • Hasil laporan dijangka dibentang dalam perbahasan Parlimen pada 22 Jun 2026.
  • Diharap laporan membantu membuat pertimbangan kebajikan dan kemungkinan membawa pulang semula gajah.

Aktivis pencinta haiwan, Datin Shereen Yunos berkata laporan itu antaranya merangkumi penelitian video rakaman dengan jumlah durasi 155 jam yang memaparkan tingkah laku semasa ketiga-tiga gajah berkenaan sejak berada di Zoo Tennoji.

Tambah beliau, laporan tersebut telah dihantar oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan) kepada pegawai terlibat NRES.

“Laporan terperinci ini telah disediakan dan dikeluarkan oleh Dr William dari Oxford, London. Ia hanya akan digunakan oleh NRES termasuk perbahasan di Parlimen pada 22 Jun 2026 nanti.

“Mengenai video dengan jumlah durasi 155 jam itu, Dr William sudah mengkaji video berkenaan. Ini bermakna beliau tidak perlu ke Zoo Tennoji dekat Osaka yang akan mengambil masa lebih lama berbanding mengkaji video rakaman tingkah laku gajah berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media di hadapan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di sini.

Selain itu, Datin Shereen berkata kajian tingkah laku ketiga-tiga gajah berkenaan melalui penelitian video membolehkan pemerhatian secara menyeluruh dapat dilaksanakan.

Beliau turut optimis bahawa hasil laporan perubahan tingkah laku kesemua gajah tersebut, dapat membantu kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung kebajikan dan masa hadapan haiwan berkenaan termasuk langkah membawa pulang semula Dara, Amoi dan Kelat ke tanah air.

Pada Mac lalu, Menteri NRES Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata penghantaran ketiga-tiga gajah itu ke Jepun sebahagian daripada perancangan konservasi yang dimulakan lebih 10 tahun lepas melalui perjanjian antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji.

Isu Dara, Amoi dan Kelat mendapat perhatian meluas selepas rakaman video yang memaparkan keadaan ketiga-tiga gajah itu di Zoo Tennoji tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kebajikan dan kesesuaian penempatan haiwan berkenaan di Jepun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.