
KUALA LUMPUR, 30 April – Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan selepas disyaki menyimpan dan memelihara pelbagai spesies hidupan liar dilindungi tanpa lesen sah dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Bandar Uda Utama, Johor Bahru pada Rabu.
- 16 burung dilindungi dirampas, termasuk sun conure dan sulphur crested cockatoo.
- Suspek gagal mengemukakan lesen sah; semua haiwan dan barang diserahkan kepada PERHILITAN Johor; nilai rampasan dianggarkan RM62,381.
- Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Seksyen 60(1)(a); operasi mengukuh kerjasama penguatkuasaan melalui RKB.
Serbuan kira-kira pukul 8.45 malam itu dilaksanakan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman Zon Selatan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor susulan maklumat awam.
PSP menerusi satu hantara di laman Facebook memaklumkan, hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 16 burung daripada pelbagai spesies dilindungi termasuk sun conure, green cheeked parakeet, ringed neck parakeet dan sulphur crested cockatoo.
Turut dirampas satu unit trofi hidupan liar yang dipercayai tanduk rusa.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah daripada pihak berkuasa bagi pemilikan serta penyimpanan semua hidupan liar berkenaan.
“Kesemua haiwan dan barang kes diserahkan kepada PERHILITAN Johor untuk tindakan lanjut, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM62,381,” menurut hantaran tersebut.
Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), khususnya Seksyen 60(1)(a) kerana memiliki hidupan liar dilindungi serta bahagian hidupan liar tanpa permit sah.
“Operasi ini dilaksanakan selaras dengan pendekatan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) bagi memperkukuh kerjasama dan keberkesanan penguatkuasaan antara agensi.
“Pihak polis menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah berkaitan hidupan liar demi memastikan kelestarian biodiversiti negara terus terpelihara,” menurut hantaran itu lagi.