
ATHENS, 30 April – Penganjur flotila bantuan menuju ke Gaza memaklumkan tentera Israel telah menahan seramai 211 aktivis, termasuk seorang ahli majlis bandar Paris, dalam satu operasi di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
- Operasi berhampiran Crete lebih 1,000 kilometer dari Gaza, disifatkan penganjur sebagai paling jauh pernah berlaku.
- Penganjur mendakwa banyak bot dikepung dan sekurang-kurangnya 22 daripada 58 bot telah diserbu oleh tentera Israel.
- Antara yang ditahan termasuk Raphaelle Primet dan 10 warga Perancis; kerajaan Itali gesa pembebasan warganya.
Jurucakap Global Sumud France, Helene Coron, berkata operasi itu berlaku berhampiran pulau Crete pada jarak yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini dari pantai Gaza, dalam satu sidang media secara dalam talian.
Beliau berkata operasi itu berlaku lebih 1,000 kilometer dari Gaza dan menyifatkannya sebagai operasi paling jauh seumpamanya, berbanding rekod 185 kilometer pada Jun 2025.
Aktivis Yasmine Scola, turut mendakwa rakan-rakannya telah diculik Israel.
Menurut Coron, antara yang ditahan termasuk ahli majlis tempatan Parti Komunis Paris, Raphaelle Primet, serta 10 warga Perancis lain.
“Kami tidak mempunyai maklumat untuk kewarganegaraan lain, tetapi bot-bot itu bercampur dari segi kewarganegaraan, jadi terdapat anak kapal daripada semua 48 delegasi,” katanya.
Sementara itu, kerajaan Itali dalam satu kenyataan menggesa pembebasan segera semua rakyat Itali yang ditahan secara tidak sah.
Beberapa kapal dalam flotila bantuan menuju ke Gaza masih meneruskan pelayaran selepas sebahagian lagi didakwa dipintas oleh tentera Israel di perairan berhampiran Crete, Greece.
Sebelum ini, Kementerian Luar Israel memaklumkan bahawa 175 individu telah ditahan dalam operasi tersebut.
Terdahulu, penganjur flotila pro-Palestin memaklumkan pada awal Khamis bahawa bot mereka telah dikepung kapal tentera Israel ketika berada di luar pesisir Crete.
“Ketika kenyataan ini dikeluarkan (06:30 pagi waktu Paris, 04:30 GMT), sekurang-kurangnya 22 daripada 58 bot flotila telah diserbu oleh tentera Israel, yang didakwa merupakan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan Global Sumud Flotilla.
Sumber sama turut memaklumkan sekitar 30 bot masih meneruskan perjalanan, kebanyakannya berada di perairan wilayah Greece di selatan Crete.
Flotila tersebut berlepas dalam beberapa minggu kebelakangan ini dari Marseille (Perancis), Barcelona (Sepanyol) dan Syracuse (Itali), sebelum kapal mereka dikepung secara haram”oleh Israel.-AFP