
KUALA LUMPUR, 30 April – Ringgit ditutup rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain termasuk dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, apabila pelabur beralih tumpuan kepada aset selamat susulan kebimbangan terhadap harga minyak mentah yang tidak menentu.
- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau.
- Ketidaktentuan harga minyak mentah meningkat, mendorong pelabur beralih kepada aset selamat.
- FOMC mengekalkan julat kadar faedah; pembuat dasar cenderung tidak melonggarkan dasar dalam jangka pendek.
Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 3.9690/9740 berbanding dolar AS daripada 3.9495/9540 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketidaktentuan harga minyak mentah meningkat, dengan West Texas Intermediate (WTI) dan minyak mentah Brent masing-masing naik 1.28 peratus dan 3.44 peratus kepada US$108.25 setong dan US$122.09 setong.
Mengenai perkembangan lain, beliau menjangkakan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) tidak menurunkan kadar faedah dalam jangka masa pendek.
Ini memandangkan keputusan terkini FOMC menunjukkan sebahagian penggubal dasar cenderung untuk mengekalkan kadar sedia ada daripada melonggarkan dasar, katanya kepada Bernama.
Dalam mesyuarat ketiga tahun ini, FOMC mengekalkan julat sasaran kadar dana Persekutuan AS pada 3.50 hingga 3.75 peratus.
Pada akhir dagangan, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit domestik turun berbanding yen Jepun kepada 2.4907/4942 daripada 2.4709/4739 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding euro kepada 4.6417/6476 daripada 4.6197/6250.
Mata wang tempatan juga susut berbanding pound British kepada 5.3593/3661 daripada 5.3330/3391.
Ringgit turut rendah berbanding mata wang negara serantau.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1061/1103 daripada 3.0909/0946 ketika dagangan ditutup pada Rabu, dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.1711/1932 daripada 12.0791/0980.
Ringgit kurang stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 228.7/229.2 daripada 227.9/228.3 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.47 daripada 6.41/6.42.
Pasaran tempatan akan ditutup esok bersempena dengan cuti umum Hari Pekerja.- BERNAMA