Pegawai tentera akan didakwa hari ini kes bunuh, pandu mabuk

FOTO FAIL PDRM

KUALA LUMPUR, 30 April – Seorang pegawai tentera akan didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan membunuh serta memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kemalangan di Lebuhraya MEX, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dihadapkan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen.
  • Dua pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana alkohol melebihi had ditetapkan.
  • Kenderaan dipercayai memasuki laluan bertentangan, bertembung kereta e-hailing; seorang penumpang Bangladesh maut, pemandu dan seorang penumpang cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa menerusi satu kenyataan memaklumkan, tertuduh akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur.

“Dua pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan turut akan dibuat di Mahkamah Trafik,” katanya.

Dalam kejadian 23 April lalu, kenderaan dipandu suspek dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta e-hailing.

Kemalangan itu menyebabkan seorang penumpang lelaki warga Bangladesh maut, manakala pemandu e-hailing dan seorang penumpang wanita cedera.