PGA tahan lelaki tempatan, rampas 86,000 liter minyak mentah

Suspek dipercayai mula melakukan kegiatan tersebut sejak awal tahun lalu, menurut Komander Bridged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain. Foto Briged Tenggara PGA

DUNGUN, 30 April – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas kira-kira 86,000 liter minyak petroleum mentah atau crude oil yang dianggarkan bernilai RM255,500 dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis di Taman Perindustrian, Paka, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan bersepadu oleh Cawangan Risik Briged Tenggara PGA bersama JAS Terengganu dan MPD di premis Taman Perindustrian Paka.
  • Pemeriksaan menemui empat tangki kira-kira 80,000 liter dan tujuh IBC mengandungi kira-kira 6,000 liter minyak serta peralatan pam dan hos.
  • Seorang lelaki tempatan 45 tahun ditahan; premis dipercayai tanpa lesen, kompaun dikeluarkan, kes diserahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengah hari oleh sepasukan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA Kuantan, Pahang dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu serta Majlis Perbandaran Dungun (MPD).

Menurut Komander Bridged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain, pemeriksaan di premis beralamat Lot 9750C, Taman Perindustrian, Paka itu menemukan beberapa tangki minyak dan tong jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang disyaki mengandungi minyak petroleum mentah.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak empat tangki disyaki berisi minyak mentah dengan anggaran 80,000 liter, selain tujuh tong IBC mengandungi kira-kira 6,000 liter bahan sama. Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut dirampas tiga pam minyak, lima hos serta empat tangki kosong yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyimpanan dan pemindahan bahan berkenaan.

Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai tidak mempunyai lesen sah daripada Majlis Perbandaran Dungun, dan pihak berkuasa tempatan itu telah mengeluarkan kompaun atas kesalahan berkenaan.

Sementara itu suspek dipercayai mula menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lalu dengan menyewa premis berkenaan sebagai lokasi penyimpanan minyak sebelum dijual kepada pembeli pada harga antara 70 sen hingga RM1 seliter.

“Suspek mula melakukan kegiatan tersebut sejak awal tahun 2025, dan menyewa premis untuk tujuan penyimpanan minyak sebelum dijual kepada pembeli dengan anggaran harga RM0.70 hingga RM1, seliter,”

“Hasil soal siasat awal, suspek telah bekerja di syarikat Paka Plant General Maintainance Sdn Bhd (PPGM) selama hampir 3 tahun. Dan minyak berkenaan dibawa keluar ketika syarikat berkenaan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di sekitar Terminal Minyak Mentah Terengganu (TCOT), sebelum dibawa ke premis serbuan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Dungun serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).