Tragedi selam Maldives: Dua mayat terakhir ditemukan, operasi pencarian tamat

Foto REUTERS

MALE, 21 Mei– Misteri kehilangan mangsa tragedi selam di Maldives akhirnya terjawab selepas dua mayat terakhir penyelam warga Itali ditemukan pada Rabu (20 Mei), sekali gus menamatkan operasi pencarian yang digerakkan oleh pasukan penyelam pakar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa Maldives menyiasat beberapa kemungkinan punca kematian kelima-lima penyelam.
  • Kumpulan penyelam memasuki sebuah gua di kawasan laut dalam untuk eksplorasi selepas mendapat permit menyelidik batu karang lembut di tapak Devana Kandu.
  • Siasatan menumpukan kemungkinan pelanggaran had kedalaman kerana kumpulan dipercayai turun lebih dalam daripada jarak dibenarkan.
  • Kumpulan diketuai Profesor Monica Montefalcone, 51, ahli ekologi marin, yang tragisnya turut kehilangan anak perempuannya.

Menerusi rakaman video yang dikeluarkan oleh DAN Europe, pasukan penyelam dari Finland yang dianggotai oleh tiga individu itu mengesahkan bahawa misi mereka telah selesai, sambil menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

“Selepas tiga hari operasi dijalankan, saya boleh katakan bahawa kami telah berjaya menyelesaikan misi ini.”

“Kesemua mereka kini telah dibawa naik ke permukaan dan sedia untuk dibawa pulang,” kata salah seorang penyelam Finland, Sami Paakkarinen.

Sementara itu, pihak berkuasa Maldives kini sedang menyiasat beberapa kemungkinan yang menjadi punca kematian kelima-lima penyelam terbabit.

Sebelum kejadian, kumpulan berkenaan dilaporkan telah memasuki sebuah gua di kawasan laut dalam bagi menjalankan eksplorasi selepas mendapat permit sah untuk menyelidik batu karang lembut (soft corals) di tapak penyelaman Devana Kandu.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran had kedalaman selam selepas kumpulan berkenaan dipercayai turun jauh lebih dalam daripada jarak yang dibenarkan.

Kumpulan penyelam itu diketuai oleh Monica Montefalcone, 51 tahun, seorang profesor dari Universiti Genoa merangkap ahli ekologi marin yang sering melakukan aktiviti selam di perairan Maldives di Lautan Hindi.

Tragedi tersebut dilaporkan turut mengorbankan anak perempuan beliau. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.