Pemandu lori ais ditahan, disyaki isi diesel untuk penyeludupan

Foto hiasan

SUNGAI PETANI, 21 Mei -Seorang pemandu lori ais ditahan di sebuah stesen minyak di Legenda Heights kerana dipercayai mengisi diesel di empat stesen minyak untuk penyeludupan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penahanan hasil risikan dan intipan KPDN Kedah selama dua minggu.
  • Serbuan menemui tong IBC 1,000 liter penuh cecair disyaki minyak diesel.
  • Barangan disita bernilai RM38,005. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. KPDN memberi amaran keras.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penahanan lelaki tempatan berusia 61 tahun itu adalah hasil risikan serta intipan yang dijalankan pihaknya selama dua minggu.

“Serbuan sekitar pukul 11.00 pagi itu telah menemui satu tong IBC berkapasiti 1,000 liter yang penuh berisi cecair disyaki minyak diesel.

“Siasatan awal oleh pasukan serbuan terhadap OKT mendapati minyak dalam tong IBC tersebut dibeli di empat buah stesen sekitar Sungai Petani,” menurut kenyataan itu.

Kesemua barangan yang dijumpai semasa serbuan disita dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM38,005.00.

Kes disiasat bawah kesalahan seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan (minyak diesel) tanpa permit menyimpan dan mana-mana orang.

KPDN Kedah memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba menyeleweng subsidi negara merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

“Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi” kata kenyataan itu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.