
ISTANBUL, 21 Mei– Kemarau kejuaraan selama tiga dekad akhirnya berakhir buat Aston Villa selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mempamerkan persembahan bertenaga untuk membenam SC Freiburg 3-0, sekali gus muncul juara Liga Europa pada Rabu (20 Mei).
- Unai Emery raih kejuaraan kelima Liga Europa, samakan rekod dengan pengurus legenda seperti Ancelotti, Mourinho dan Trapattoni.
- Villa menamatkan kemarau trofi utama sejak 1996 dan meraih kejuaraan Eropah pertama sejak 1982.
- Jaringan oleh Tielemans, Buendia dan Rogers memastikan kemenangan setelah Freiburg gagal menembusi pertahanan Villa.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan pengendali mereka, Unai Emery melebarkan rekod luar biasa dengan kejuaraan kelima peribadi dalam saingan berkenaan, meletakkan beliau sebaris dengan pengurus legenda seperti Carlo Ancelotti, Jose Mourinho dan Giovanni Trapattoni.
Kemenangan tersebut menamatkan kemarau trofi utama Villa sejak menjulang Piala Liga Inggeris pada 1996, sekali gus menjadi kejuaraan Eropah pertama mereka sejak tahun 1982.
Kejayaan Villa itu mengekalkan trofi Liga Europa di England susulan kemenangan Tottenham musim lepas.
Malah, kelab EPL kini dalam pemburuan “hat-trik” unik di pentas Eropah kerana Arsenal dan Crystal Palace sudah pun mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.
Dalam aksi tersebut, Villa membuka tirai jaringan pada minit ke-41 menerusi rembatan voli rendah Youri Tielemans.
Jaringan berpunca daripada hantaran silang Morgan Rogers hasil sepakan penjuru pendek, sebelum bintang antarabangsa Belgium yang tidak dikawal itu melepaskan rembatan deras tepat ke penjuru gawang bagi menewaskan penjaga gol Freiburg, Noah Atubolu.
Gergasi England itu terus selesa di hadapan apabila Emiliano Buendia meledak gol kedua yang memukau, hanya beberapa saat sebelum tamat separuh masa pertama.
Benteng pertahanan Freiburg dihukum akibat memberikan terlalu banyak ruang di luar kotak penalti, memandangkan perancang tengah Argentina itu bijak mengambil kesempatan melepaskan rembatan melengkung kaki kiri ke bucu gawang.
Rogers kemudian memastikan kemenangan mutlak Villa pada minit ke-58 selepas bertindak cemerlang menyempurnakan hantaran lintang rendah Buendia dari sebelah kiri.
Sementara itu, impian Freiburg untuk menoktahkan kemarau trofi sulung dalam dalam sejarah 122 tahun penubuhan kelab berkenaan, akhirnya lebur.
Barisan jentera serangan mereka kelihatan buntu dan jarang sekali memberikan ancaman berbahaya ke kubu Villa sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung. -REUTERS