
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei mencipta kejutan pada Kejohanan Masters Malaysia 2026 apabila menyingkirkan pemain ranking ke-18 dunia dari Thailand, Busanan Ongbamrungphan dalam perlawanan di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini semalam.
- Goh Jin Wei, ranking ke-55 dunia, menang tiga set 21-6, 16-21, 21-10 dalam 51 minit.
- Kemenangan menamatkan badi tewas selepas empat pertemuan terdahulu.
- Jin Wei akui lawannya temui rentak set kedua, namun dia kembali kawal permainan dan psycho diri pada setiap mata.
- K. Letshanaa melangkah ke pusingan kedua dan akan bertemu Tomoka Miyazaki; Wong Ling Ching tersingkir selepas tewas rapat 21-12, 21-25, 23-25.
Jin Wei yang menghuni ranking ke-55 dunia mempamerkan aksi bertenaga sebelum mencatat kemenangan sulung ke atas Busanan menerusi pertarungan tiga set 21-6, 16-21, 21-10 dalam tempoh 51 minit.
Kemenangan tersebut sekali gus menamatkan badi kekalahan Jin Wei selepas tewas dalam empat pertemuan terdahulu kepada pemain Thailand itu.
Jin Wei mengakui lawannya mula menemui rentak pada set kedua, namun dia berjaya kembali mengawal permainan dalam set penentuan.
“Saya rasa dia (Busanan) ada tekanan sikit, cuma saya lakukan kesilapan pada set kedua membolehkan dia mengambil alih semula rhythm permainan. Tetapi masuk set ketiga, saya cuba psycho diri saya sendiri pada setiap mata,” katanya.
Mengulas aksi pusingan kedua, Jin Wei dijadual berdepan wakil India, namun enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi bagi mengelakkan tekanan terhadap dirinya.
“Bagi saya letak sasaran (terlalu awal) adalah sesuatu yang tidak realistik. Saya hanya mahu menikmati permainan bagi setiap mata yang diperoleh. Sasaran memang tak ada, cuma cuba sahaja,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, K. Letshanaa turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Denmark, Amalie Schulz dalam aksi tiga set 21-13, 19-21, 21-15.
Kemenangan itu menjadi yang kedua buat Letshanaa dalam tiga pertemuan menentang lawannya itu.
Pemain ranking ke-32 dunia berkenaan dijadual membuat perhitungan dengan pemain muda Jepun yang juga ranking kesembilan dunia, Tomoka Miyazaki, pada pusingan seterusnya.
Bagaimanapun, langkah seorang lagi wakil negara, Wong Ling Ching terhenti di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Vietnam yang juga ranking ke-21 dunia, Nguyen Thuy Linh.
Ling Ching yang menghuni ranking ke-33 dunia memberikan tentangan sengit sebelum akur menerusi keputusan 21-12, 21-25, 23-25 dalam tempoh satu jam 11 minit.