4 rumah guru, kantin SK Imbak musnah dalam kebakaran

13 penghuni terjejas susulan kebakaran yang berlaku kira-kira 6.20 petang Rabu. Foto APM Tongod

TONGOD, 30 April – Empat unit rumah guru dan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Imbak musnah dalam kebakaran, pada petang Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran berlaku kira-kira pukul 6.20 petang.
  • Seramai 13 penghuni terjejas dan sebuah kenderaan turut terbakar.
  • APM menerima panggilan kecemasan; empat anggota tiba pada 6.53 petang untuk pemantauan dan penilaian risiko.
  • Operasi disertai PDRM, bomba bantuan dan kakitangan SESB; punca kebakaran masih dalam siasatan.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tongod, Leftenan Adrian Dauli, insiden yang berlaku kira-kira pukul 6.20 petang itu, menyebabkan 13 penghuni terjejas, dan sebuah kenderaan turut terbakar.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan,pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.

“Seramai empat anggota APM tiba di lokasi pada jam 6.53 petang untuk menjalankan pemantauan serta penilaian risiko di kawasan terjejas.

“Dalam kejadian itu, terdapat empat rumah guru, sebuah kantin sekolah dan sebuah kenderaan musnah akibat kebakaran.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun terdapat 13 mangsa terdiri daripada tiga lelaki dewasa dan sembilan wanita dewasa terjejas akibat kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi turut disertai beberapa agensi lain termasuk, Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba bantuan serta kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Punca kebakaran masih dalam siasatan.