Polis kesan suspek bakar dua kenderaan di Klang

Foto hiasan

SHAH ALAM, 29 April – Polis sedang mengesan suspek disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan membakar dua kenderaan milik seorang pengimpal di sebuah kawasan perumahan di Kapar, Klang pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman CCTV menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal memecahkan cermin, mencurah petrol dan membakar kedua-dua kenderaan.
  • Api berjaya dipadam sepenuhnya dengan bantuan jiran; kedua-dua kenderaan mengalami kesan terbakar kira-kira 30 peratus.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan; orang ramai diminta tidak membuat spekulasi dan hubungi 03-3291 2222.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) S Vijaya Rao menerusi kenyataan memaklumkan, mangsa berusia 55 tahun menyedari kejadian berkenaan kira-kira 12.12 tengah malam setelah terdengar bunyi letupan, sebelum mendapati keretanya terbakar.

“Api bagaimanapun berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan jiran. Kejadian ini mengakibatkan kedua-dua kenderaan mengalami kesan terbakar sebanyak 30 peratus.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki menaiki dua motosikal telah memecahkan cermin kenderaan dan menyimbah minyak petrol, sebelum membakar kedua-dua kenderaan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

ACP S Vijaya Rao turut memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular melalui media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 57 saat yang memaparkan empat individu bertopi keledar dan memaki pelitup muka bertindak mencurah petrol ke atas dua kenderaan di hadapan sebuah kediaman sebelum bertindak membakar kenderaan terbabit.

Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerusi talian 03-3291 2222 untuk membantu siasatan.