
SEBERANG PERAI SELATAN, 29 April- Seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah stor di Simpang Ampat, di sini kerana disyaki menyeleweng hampir 24,000 liter minyak diesel bersama dua lori yang telah diubah suai tangki asalnya.
- Operasi dijalankan hasil risikan selama dua minggu sebelum serbuan di premis berkenaan.
- Stor berlesen didapati digunakan untuk memindahkan minyak diesel; pemilik gagal mengemukakan dokumen pembelian walaupun diminta.
- Rampasan dianggarkan kira-kira RM400,000; kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Kawalan Bekalan 1974, denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata operasi itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu sebelum serbuan dilakukan di lokasi berkenaan pada Selasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati stor yang berlesen itu dijadikan premis untuk menurunkan minyak diesel sebelum dipindahkan ke kenderaan lain bagi tujuan penghantaran ke destinasi seterusnya,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut turut mendapati dua lori digunakan telah diubah suai bagi mengangkut minyak diesel secara tidak sah dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM400,000.
“Pemilik premis yang juga berlesen masih belum hadir dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pembelian setakat ini. Walaupun telah diminta mengemukakan dalam bentuk ‘soft copy’, kami masih belum menerima apa-apa dokumen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM di lokasi serbuan di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.