Pembangunan sempadan Serian-Tebedu dipercepat

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 25 November – Kerajaan sedia untuk terus mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di kawasan wilayah sempadan Serian-Tebedu, Sarawak bagi memastikan negara bersedia memanfaatkan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan Serian-Tebedu dilaksanakan melalui kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
  • Keutamaan termasuk menaik taraf pintu masuk antarabangsa, meningkatkan ketersambungan jalan raya serta memperkukuh kemudahan asas, kesihatan dan pendidikan.
  • Walaupun berdepan cabaran, kerajaan kekal komited mempercepat pembangunan demi manfaat rakyat Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu bertujuan merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan serta memperkukuh hubungan perdagangan rentas sempadan Malaysia-Indonesia.

Pelaksanaan pembangunan itu menerusi kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, selain menjadikan Serian-Tebedu sebagai hab logistik serta pintu masuk ekonomi utama negara ke Kalimantan.

“Kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion bagi projek pembangunan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak-Kalimantan, seperti diumumkan Perdana Menteri pada 19 Januari 2023.

“Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan sempadan negara serta memanfaatkan potensi pembangunan ekonomi rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem berhubung kerjasama persekutuan dan negeri dalam mempercepat pembangunan infrastruktur di kawasan sempadan Serian-Tebedu.

Antara pembangunan yang diberi keutamaan termasuk menaik taraf kemudahan pintu masuk antarabangsa, meningkatkan ketersambungan jalan raya serta memperkukuh kemudahan utiliti asas, kesihatan dan pendidikan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ahmad Zahid mengakui pelaksanaan projek berkenaan berdepan pelbagai cabaran, namun ia tidak menjejaskan komitmen kerajaan untuk merealisasikan pembangunan kawasan sempadan secepat mungkin demi manfaat rakyat Sarawak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.