
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Pihak sekolah disaran meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutama di luar bandar, bagi memastikan pelajar mendapat akses pendidikan yang lebih berkualiti.
- Berikan peluang penggunaan tablet dan komputer di sekolah supaya pelajar dapat menggunakan teknologi sepenuhnya.
- Sediakan satu hingga dua jam penggunaan digital setiap hari untuk aktiviti kelas agar pelajar tidak ketinggalan.
- Jadikan teknologi digital sebagai pelengkap kepada kaedah pengajaran konvensional bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.
Ketua Bahagian Transformasi Pusat Jalinan Komuniti Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata langkah itu penting bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan menggunakan teknologi dalam arus pendidikan moden.
“Saya berharap pihak sekolah yang mempunyai kemudahan-kemudahan seperti tablet, komputer memberi peluang kepada anak-anak ini menggunakan sepenuhnya.
“Satu hingga dua jam penggunaan untuk aktiviti kelas sudah cukup untuk anak-anak ini belajar dan tidak ketinggalan daripada segi digital,” katanya kepada RTM di sini.
Sementara itu, Prof. Madya Dr Mohd Nazri menegaskan bahawa penggunaan digital menjadi pelengkap kepada kaedah konvensional buat guru ketika proses pembelajaran dalam kelas.