
KANGAR, 21 Mei -Sebanyak 9,729 notis pemberitahuan pengosongan tangki septik telah dikeluarkan membabitkan premis komersial dan domestik di Perlis sehingga tahun lalu.
- Hanya 5.36% pemilik premis melaksanakan pengosongan tangki septik, menunjukkan pelaksanaan rendah.
- Kesedaran masyarakat masih rendah walaupun Indah Water Konsortium dan agensi giat menjalankan libat urus.
- Beberapa pemilik gagal kosongkan tangki lebih daripada 10 tahun, meningkatkan risiko pencemaran.
- SPAN melaksanakan penguatkuasaan, mengeluarkan notis pematuhan dan mengenakan denda sehingga RM50,000 bagi yang melanggar.
Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, berkata, hanya segelintir pemilik premis melaksanakan pengosongan tersebut, iaitu sebanyak 5.36 peratus atau sekitar 324 pemilik premis.
“Kesedaran pemilik premis masih agak rendah walaupun pihak Indah Water Konsortium giat menjalankan aktiviti libat urus bersama penduduk, ketua kampung, Exco, wakil rakyat serta agensi kerajaan dan NGO lain.Namun, penerimaan masyarakat terhadap pelaksanaan kerja nyahenap cemar masih rendah.
“Oleh itu, tindakan yang dilakukan hari ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai serta menunjukkan betapa seriusnya perkara ini dan perlunya ia dilaksanakan oleh pemilik premis,” katanya kepada pemberita selepas Op Haruman, di sini.
Tambah beliau, hasil pemerhatian juga mendapati, ada dalam kalangan pemilik premis yang gagal melaksanakan pengosongan tangki septik lebih dari 10 tahun.
SPAN kini sedang giat menjalankan penguatkuasaan dan mengeluarkan notis pematuhan bagi pengosongan tangki septik terhadap pemilik dan penghuni yang didapati gagal mematuhi arahan berkenaan.
Pihak yang didapati melanggar peruntukan itu juga boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM50,000.