
KEPALA BATAS, 30 April -Lebih 30 buah rumah serta premis perniagaan di sekitar Kepala Batas dilaporkan mengalami kerosakan akibat ribut lewat petang tadi.
- Pasukan APM dan JBPM dikerahkan, termasuk jentera dari Kepala Batas, Bertam dan Kuala Muda.
- Operasi dikawal pada 7.38 malam; tumpuan kepada pembersihan dan rondaan keselamatan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
- Ribut menyebabkan bumbung tercabut dan pokok tumbang di Kepala Batas dan Penaga; TNB membantu memastikan bekalan elektrik selamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.14 malam sebelum menggerakkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas, Bertam dan Kuala Muda ke lokasi.
Beliau berkata bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Ribut berkenaan menyebabkan bumbung beberapa bangunan diterbangkan angin kencang selain turut mengakibatkan kejadian pokok tumbang.
“Bantuan dari balai bomba berhampiran turut dihantar ke kawasan Kepala Batas bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan rondaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
John Sagun berkata bumbung BBP Kepala Batas turut diterbangkan angin kencang.
Berdasarkan perkongsian orang ramai di media sosial, kejadian sama dilaporkan berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir dan Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pokok tumbang di dalam kawasan Hospital Kepala Batas (HKB).
Katanya pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 6 petang memaklumkan terdapat tiga batang pokok telah tumbang namun tidak melibatkan mangsa.
“Pasukan telah mengambil tindakan mengalihkan pokok-pokok tersebut. Selain HKB, kejadian turut dilaporkan di beberapa kawasan sekitar Penaga dan Kepala Batas,” katanya.