14 ADUN BN Negeri Sembilan kekal bersama Kerajaan Perpaduan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa majlis Pertukaran MoU antara MyDigital ID Sdn Bhd dengan Rakan Kerjasama Strategik di Putrajaya/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 April – Kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersetuju untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan bagi memastikan kestabilan terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengadakan perbincangan dengan ADUN untuk meluruskan persepsi bahawa mereka tidak berniat 'tebuk atap'.
  • Keputusan bagi memastikan tiada penggugatan, demi kepentingan rakyat keseluruhannya.
  • Tindakan bertujuan mempertahankan institusi raja dan adat Negeri Sembilan agar terus dihormati.
  • Pertikaian diselesaikan melalui Perjanjian 18 Perkara; kembali ke meja rundingan dengan Perdana Menteri berfikiran terbuka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dalam pertemuannya bersama semua wakil rakyat terbabit, hari ini.

“Saya mengadakan perbincangan dengan semua 14 ADUN itu untuk melihat semula bahawa dengan tidak berhajat untuk kita ‘retract’, tetapi kita mahu membetulkan persepsi bahawa mereka bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang.

“Parti di peringkat nasional dan juga semua ADUN yang saya temui bersetuju supaya kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan supaya tidak berlaku sebarang penggugatan, demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian dan menyaksikan majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyDigital ID Sdn Bhd dengan Rakan Kerjasama Strategik di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, langkah yang diambil kesemua ADUN terbabit sebenarnya berniat baik bagi mempertahankan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan, memastikan ia dihormati dan didukung semua rakyat.

Tegas beliau, ketika negara sedang berdepan permasalahan ekonomi global, semua harus bersatu hati bukan sahaja bagi menangani, tetapi bersama-sama mendukung perkara yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ditanya sama ada langkah menarik sokongan kepada Menteri Besar, namun masih menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebagai tindakan untuk menukar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, sebarang permasalahan atau pertikaian harus dihadapi secara bersama.

“Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai perjanjian yang kita panggil sebagai Perjanjian 18 Perkara, di antara perjanjian itu, jika ada ‘dispute resolution’ atau permasalahan yang harus kita sama-sama depani, maka kita kembali ke meja perbincangan untuk sama-sama mencari penyelesaian.

“Pada hemat saya, Perdana Menteri selaku Pengerusi PH sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita sama-sama melihat, jika ada perkara-perkara yang boleh diselesaikan secara bersama,” katanya.