Kerajaan Selangor kecam keras tindakan Israel halang misi GSF 2.0

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR, 30 April -Kerajaan Selangor mengecam sekeras-kerasnya serangan, halangan dan penahanan rejim zionis Israel terhadap para aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang cuba menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan Israel melanggar undang-undang perairan antarabangsa, memintas kapal dan menculik aktivis berhampiran Pulau Crete.
  • Amirudin menuduh rejim Israel berhasrat meneruskan genosid melalui serangan dan penghentian bantuan kemanusiaan.
  • Selangor gesa kecaman meluas; Amirudin akan hubungi Perdana Menteri dan Menteri Luar untuk jamin keselamatan serta pembebasan aktivis.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan berulang kali yang melanggar undang-undang perairan antarabangsa dalam memintas kapal serta menculik aktivis kemanusiaan berhampiran Pulau Crete di Greece menampilkan sikap tidak peduli rejim Zionis Israel.

“Malah, kelompok ini telah sekian lama membuktikan bahawa mereka berhasrat meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin, sama ada dalam bentuk serangan pengeboman ataupun penghentian bantuan kemanusiaan oleh pihak lain seperti insiden terbaharu ini.

“Sikap lanun pembunuh ini turut memangsakan penduduk di rantau Asia Barat, termasuk rakyat Lubnan yang diusir dari tanah sendiri, ataupun penduduk di Iran yang menjadi mangsa pembunuhan,” katanya dalam kenyataan.

Datuk Seri Amirudin turut menggesa kecaman dan ikhtiar yang mencakupi semua aspek untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim Zionis Israel daripada semua pihak.

Pada masa sama, beliau akan menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi memastikan keselamatan para aktivis yang menjadi mangsa serangan dan penahanan itu dapat dijamin dan dibebaskan.