Tender bina IPD Melaka Tengah, Balai Tanjung Minyak dibuka selepas fasa VA Lab

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

TANJUNG MINYAK, 17 April– Proses tender bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Balai Polis Tanjung Minyak akan dibuka selepas fasa makmal kajian nilai (Value Assessment Lab/VA Lab) dimuktamadkan pada Jun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa VA Lab dimuktamadkan untuk memuktamadkan skop, kos dan keperluan keseluruhan projek.
  • Kerja pembinaan kedua-dua projek dijangka bermula pada pertengahan 2027.
  • Pembinaan berasaskan garis panduan termasuk indeks jenayah, kapasiti penduduk serta keperluan kawasan; mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kemudahan polis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata fasa berkenaan bertujuan memuktamadkan skop, kos serta keperluan keseluruhan projek sebelum proses seterusnya dilaksanakan.

Beliau berkata selepas kajian tersebut dimuktamadkan, tender akan dibuka kepada kontraktor yang berkelayakan.

Kerja-kerja pembinaan kedua-dua projek itu dijangka bermula pada pertengahan 2027.

“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk memastikan anggota polis mendapat kemudahan yang baik. Kita mahu matlamat kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai.

“Pembinaan IPD dan kemudahan lain dibuat berdasarkan garis panduan tertentu, termasuk indeks jenayah, kapasiti penduduk serta keperluan kawasan. Kawasan ini memenuhi aspek-aspek yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama pesara dan anggota Balai Polis Tanjung Minyak di sini.