
KUALA LUMPUR, 17 April – Bekalan ubat di Malaysia ketika ini masih terkawal dan mencukupi meskipun rantaian farmaseutikal global berdepan tekanan susulan krisis tenaga global.
- Tiada gangguan kritikal dilaporkan setakat ini.
- NPRA memantau bekalan secara berterusan; pemegang pendaftaran wajib lapor sekurang-kurangnya enam bulan awal.
- Tindakan awal termasuk penyediaan pelan rawatan alternatif akan diambil jika perlu.
- Dinasihatkan tidak membuat pembelian panik; ubat mempunyai tarikh luput dan perlu disimpan dengan betul.
Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Zuhaini Mukrim berkata, tiada gangguan kritikal dilaporkan ketika ini.
“Kita di Malaysia belum ada sebarang gangguan dan bekalan stok negara masih stabil.
“Sehingga kini, tiada sebarang ubat yang telah terkesan,” katanya semasa ditemu ramah RTM di rancangan Selamat Pagi Malaysia hari ini.
Tambah beliau, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terus memantau bekalan ubat, dengan pemegang pendaftaran produk diwajibkan melaporkan sebarang gangguan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.
“NPRA sedang menyemak kesediaan stok secara berterusan dan akan mengambil tindakan awal termasuk menyediakan pelan rawatan alternatif.” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kemungkinan peningkatan harga ubat tidak dapat dielakkan susulan kenaikan kos logistik, namun kualiti dan kuantiti bekalan masih terjamin.
Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan ubat mencukupi, selain ubat mempunyai tarikh luput dan perlu disimpan dengan betul.