GKMM mohon kuota 300 liter BUDI95 untuk pengamal media

Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar untuk terus menerima kuota 300 liter BUDI95. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 April – Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar untuk terus menerima kuota 300 liter petrol RON95 sepertimana dinikmati sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelarasan kuota BUDI95 kepada 200 liter sebulan mula memberi cabaran besar kepada pengamal media menyempurnakan tugas di lapangan.
  • GKMM menerima banyak keluhan terutama dari pengamal media negeri yang perlu menempuh jarak jauh dan menghabiskan kuota sebelum hujung bulan.
  • Langkah itu menambah beban kos dan mengganggu kelancaran liputan, GKMM menyeru tindakan untuk meringankan kesan kepada pengamal media.

GKMM dalam kenyataan memaklumkan, langkah penyelarasan kelayakan program Budi MADANI RON95 (BUDI95) kepada 200 liter sebulan mula memberikan cabaran besar buat pengamal media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar serta juruvideo dalam menyempurnakan tugas di lapangan.

“GKMM menerima banyak keluhan daripada pengamal media khususnya yang bertugas di negeri-negeri, yang perlu menempuh jarak perjalanan jauh serta perlu berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari. Menyebabkan kuota 200 liter yang diterima habis lebih awal sebelum sampai tempoh kuota berakhir pada setiap hujung bulan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut GKMM langkah berkenaan akan membantu pengamal media dalam menyempurnakan serta melancarkan kerja-kerja liputan mereka di lapangan, selain meringankan beban ditanggung terutama dalam mendepani situasi kenaikan kos yang cukup mencabar ketika ini.

Bermula 1 April lepas, had kuota bulanan individu bagi pembelian petrol BUDI95 diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter susulan konflik berterusan di Asia Barat dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter. -BERNAMA