
KUALA LUMPUR, 22 Januari – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang diperkenalkan kerajaan dilihat sebagai satu langkah penting ke arah memperkukuh sistem pendidikan lebih inklusif termasuk menjaga kebajikan dan keperluan golongan orang kurang upaya (OKU).
- RPN 2026–2035 memperkukuh pendidikan inklusif dengan memberikan perhatian khusus kepada kebajikan dan keperluan pelajar OKU.
- RPN menekankan pendidikan adil dan holistik sesuai dengan keperluan serta realiti mahasiswa masa kini.
- Inisiatif RPN bertujuan meningkatkan kualiti pembelajaran, nilai kendiri, dan kebolehpasaran graduan.
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Aiman Izzat Shamsuddin berpandangan, ia menepati keperluan dan realiti semasa mahasiswa dengan menekankan kepentingan pendidikan yang adil serta holistik.
“Sebelum ini, saya sendiri pernah berjumpa dengan persatuan mahasiswa di Universiti Malaya dan pihak universiti mendengar beberapa isu telah dibangkitkan, termasuk kemudahan fasiliti, yuran pengajian dan keperluan pelajar OKU.
“Kita melihat bagaimana bantuan boleh disalurkan bagi memastikan kebajikan mereka terjaga. Sehubungan itu, inisiatif RPN oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas membantu dari sudut inklusiviti serta memastikan kebajikan golongan ini diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Menerusi RPN 2026–2035, ia disifatkan sebagai langkah penting ke arah pembaharuan sistem pendidikan negara dalam memperbaiki kualiti pembelajaran serta sistem pendidikan negara.
Selain itu, elemen dalam RPN itu juga dapat membentuk nilai kendiri, daya saing dan kebolehpasaran lebih tinggi dalam kalangan pelajar apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.