
SUBANG JAYA, 9 Januari –Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat memberi sumbangan baucar kelengkapan sekolah kepada 1,470 pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.
- Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat memberikan baucar RM100 kepada 1,470 pelajar berpendapatan rendah.
- Baucar bernilai keseluruhan RM147,000 dibelanjakan di pasaraya Mydin untuk kelengkapan sekolah.
- Inisiatif meringankan beban kewangan ibu bapa dan membantu penyediaan keperluan asas persekolahan.
Baucer ‘Back to School’ RM100 itu melibatkan nilai keseluruhan RM147,000 dengan kerjasama bersama pasaraya Mydin.
Pelajar yang terpilih dari 14 buah sekolah seluruh negara berpeluang mendapatkan kelengkapan persekolahan di Pasaraya berkenaan.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat Nizam Sani berkata, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Bank Rakyat untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat merentasi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
“Sebagai sebuah bank yang mementingkan pendidikan, Bank Rakyat berusaha meringankan beban keluarga dengan pemberian baucar bernilai RM 100 ini. Kita sedar tidak mudah untuk membantu semua pihak, justeru pendekatan yang diambil adalah memastikan lebih ramai penerima di seluruh negara mendapat manfaat,” katanya kepada media pada majlis penyerahan Inisiatif Jangkauan Komuniti MADANI: Kembali Ke Sekolah 2026 di Pasaraya Mydin, di sini.
Bantuan tersebut memberi kelegaan kepada ibu bapa dalam menyediakan keperluan asas persekolahan anak-anak, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan yang sering dihadapi menjelang awal tahun persekolahan.