Noor Azman kembali galas tugas Setiausaha Agung FAM

Foto FB Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman, kembali menggalas tugasnya berkuat kuasa serta-merta selepas didapati tidak bersalah dan tidak terlibat dalam kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Noor Azman kembali menggalas tugas Setiausaha Agung FAM selepas didapati tidak bersalah dalam kes pemalsuan dokumen.
  • Keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat dan mengambil kira laporan IIC.
  • Penggantungan beliau, yang bermula 17 Oktober 2025, ditamatkan serta-merta.
  • Noor Azman hanya dikaitkan dengan kecuaian pentadbiran, bukan pemalsuan dokumen.
  • Penggantungan diteruskan sementara sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk penilaian akhir.

Menurut kenyataan FAM hari ini, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat semalam, sekali gus menamatkan penggantungan Noor Azman yang telah berkuat kuasa sejak 17 Oktober 2025.

Jawatankuasa Tatatertib, yang dipengerusikan Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, mengambil kira tempoh penggantungan serta laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) bertarikh 15 Disember 2025 sebelum memutuskan untuk mengembalikan Noor Azman ke jawatan asalnya.

Kenyataan itu turut menegaskan Noor Azman hanya terlibat dalam kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah atau terbabit dalam sebarang unsur pemalsuan dokumen.

Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Disember 2025 memutuskan penggantungan beliau diteruskan sementara menunggu kes berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

Penggantungan Noor Azman diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram, pada 17 Oktober lalu susulan isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.