Kempen Derma Darah kumpul 531 beg

Foto fail/REUTERS

ALOR SETAR, 5 Mei -Sebanyak 531 beg darah berjaya dikumpul sempena Kempen Derma Darah anjuran Kelab Lions Alor Setar Central dan Persatuan Lungyen Kedah Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • 393 beg darah diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyyah dan 137 beg kepada Hospital Yan.
  • Yee Kin Loong: sumbangan ikhlas derma darah mampu menyelamatkan nyawa dan memberi peluang kedua kepada pesakit.
  • Moto "We Serve" diterjemah melalui tindakan nyata, berharap program diteruskan untuk tingkatkan kesedaran dan semai semangat prihatin komuniti.
  • Kejayaan hasil usaha bersama sukarelawan, ahli, "Little Tutors" dan petugas kesihatan yang memastikan proses selamat serta lancar.

Daripada jumlah itu, 394 beg darah diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar dan 137 beg darah lagi diserahkan kepada Hospital Yan.

Presiden Kelab Lions Alor Setar Central, Yee Kin Loong berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya melambangkan sumbangan ikhlas yang mampu menyelamatkan nyawa.

“Derma darah merupakan satu amalan murni yang amat penting dalam membantu pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan danpembedahan.

“Setiap pek darah yang didermakan berpotensi memberi peluang kedua kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, moto “We Serve” bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan nyata dalam membantu mereka yang memerlukan. Beliau berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah serta menyemai semangat prihatin dalam kalangan komuniti.

Sementara itu, Pengerusi program, Albert Lai menyatakan bahawa kejayaan ini dicapai hasil usaha bersama para sukarelawan, ahli serta rakan kerjasama yang komited sejak peringkat perancangan hingga pelaksanaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli, sukarelawan dan “Little Tutors” yang sanggup mengorbankan masa cuti demi menjayakan program ini, serta kepada petugas kesihatan yang memastikan proses berjalan dengan selamat dan lancar.

Program tersebut diadakan di sebuah pusat beli belah di Tandop, Alor Setar, di sini sebagai sebahagian daripada usaha khidmat masyarakat Kelab Lions Alor Setar Central dan Persatuan Lungyen Kedah Perlis dalam membantu memenuhi keperluan bekalan darah yang semakin kritikal.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.