Minggu Perpaduan perkukuh semangat kebersamaan

Zaidin Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 5 Mei Sambutan Minggu Perpaduan saban tahun diadakan sebagai platform penting bagi memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuan program ialah mewujudkan kefahaman dan keharmonian antara rakyat.
  • Fokus menampilkan nilai perpaduan di seluruh negara dan mewujudkan momen perpaduan untuk saling memahami.
  • Pelbagai aktiviti dirancang termasuk sukan tradisional konda kondi dan Fun Walk berbusana etnik untuk menarik minat generasi muda.
  • Arkib Negara menyokong usaha perpaduan melalui pendigitalan rekod sejarah bagi pemahaman peristiwa lebih tepat.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor berkata, penganjuran program tersebut bertujuan bagi mewujudkan kefahaman serta kerharmonian antara rakyat.

Sambutan yang memasuki tahun keempat itu mengekalkan fokus terhadap usaha memupuk nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat di seluruh negara.

“Fokusnya hampir sama, iaitu untuk memaparkan nilai perpaduan masyarakat di pelbagai tempat, khususnya di seluruh negara. Tujuan utama program ini adalah untuk mewujudkan momen perpaduan dalam kalangan masyarakat agar mereka dapat bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain. Itulah konsep utama yang kita tekankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Berkenaan persiapan menjelang sambutan yang akan diadakan di Banda Hilir, Melaka itu hampir siap sepenuhnya.

“Seperti yang kita sedia maklum, kita telah melaksanakan persiapan-persiapan awal supaya pelaksanaan program itu berjalan dengan lancar, dan hampir 90 peratus daripada aktiviti ataupun persiapan telah kita laksanakan,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik turut dirancang termasuk program sukan tradisional seperti konda kondi serta acara riadah seperti Fun Walk yang menampilkan busana etnik bagi menarik minat generasi muda kini.

Dalam pada itu, Akrib Negara Malaysia turut memainkan peranan dalam menyokong usaha memperkukuh perpaduan melalui pendigitalan rekod sejarah yang membolehkan masyarakat memahami sesuatu peristiwa dengan lebih tepat.

Beliau turut berharap agar sambutan tersebut dapat memperkukuh nilai perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.