Konsert Wali band gegar 12,000 peminat di Kuala Lumpur

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mei -Hampir 12,000 peminat membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil bagi menyaksikan konsert mega Wali Band yang berlangsung, di sini baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribuan peminat sudah berkumpul sejak petang, suasana bertukar gamat bila lagu-lagu hit Wali Band dimainkan.
  • Ahli kumpulan terharu dan membalas dengan persembahan bertenaga, interaktif serta penuh keikhlasan.
  • Konsert diselitkan elemen kerohanian termasuk zikir, bacaan Al-Fatihah dan doa khas untuk rakyat Palestin, mendapat reaksi empati penonton.

Seawal pukul 4.00 petang, ribuan orang sudah memenuhi perkarangan stadium sebelum konsert bermula pada 8.30 malam.

Suasana bertukar gamat sebaik sahaja lagu-lagu hit seperti Aku Bukan Bang Toyib, Tobat Maksiat, Yank, Cari Jodoh dan Baik-Baik Sayang berkumandang.

Barisan anggota kumpulan Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) jelas terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan.

Mereka membalas dengan persembahan bertenaga, penuh interaksi dan keikhlasan.

Tidak sekadar hiburan, konsert ini turut diselitkan dengan elemen kerohanian.

Wali Band mengalunkan zikir, membaca doa serta menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat para peminat.

Mereka turut menyampaikan doa khas buat rakyat Palestin sebagai tanda solidariti terhadap situasi kemanusiaan yang sedang berlaku.

Tindakan itu mendapat reaksi penuh empati daripada penonton yang turut mengaminkan doa tersebut.