
KUALA LUMPUR, 5 Mei -Legenda rock tanah air, Awie, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi konsert mega Awie Rock King – Last Man Standing 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 12 September 2026 di Stadium Merdeka.
- Persembahan solo terbesar Awie, menghimpunkan perjalanan seni lebih empat dekad dalam industri muzik tempatan.
- Konsert gabungkan muzik, penceritaan dan produksi berskala besar di sebuah lokasi ikonik yang sarat nilai sejarah.
- Kerjasama hampir 40 tahun dengan pengarah Zamberi Shaari sejak era kegemilangan kumpulan Wings.
- Mempersembahkan artis undangan pelbagai generasi, susunan muzik gabungkan nostalgia dan pendekatan moden sebagai tribute.
Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media, menjadi persembahan solo terbesar Awie, menghimpunkan perjalanan seni lebih empat dekad dalam industri muzik tempatan.
Konsert bermula pukul 8.30 malam itu , menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan produksi berskala besar di sebuah lokasi ikonik yang sarat nilai sejarah.
Menurut Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari, kerjasama beliau bersama Awie telah terjalin hampir 40 tahun, sejak era kegemilangan kumpulan Wings hingga ke perjalanan solo penyanyi itu.
“Tajuk ‘Last Man Standing’ melambangkan keteguhan Awie dalam menghadapi jatuh bangun industri muzik. Walau melalui pelbagai fasa dan perubahan zaman, beliau kekal berdiri teguh mempertahankan identiti seninya,” jelasnya.
Awie pula menyifatkan konsert itu sebagai penghargaan terhadap perjalanan kariernya yang panjang dan penuh warna.
Baginya, persembahan ini bukan sekadar hiburan, tetapi refleksi terhadap evolusi diri sebagai anak seni.
“Sokongan peminat sejak dahulu hingga kini amat bermakna. Konsert ini saya dedikasikan kepada semua yang sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Konsert tersebut akan mengetengahkan konsep penceritaan perjalanan seni Awie, merangkumi era awal bersama kumpulan, fasa solo serta transformasi dalam landskap muzik tempatan. Naratif ini akan dipersembahkan melalui gabungan visual, muzik dan persembahan dramatik.
Persembahan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis undangan daripada pelbagai generasi, yang akan membawakan lagu-lagu ikonik Awie sebagai tribute kepada legasi beliau.
Susunan muzik pula dirangka bagi menggabungkan elemen nostalgia dengan pendekatan moden, menghasilkan pengalaman konsert yang segar dan dinamik.
Penganjur menyasarkan konsert ini sebagai satu “masterpiece” dalam industri muzik tempatan, selain menjadi penanda aras baharu daripada segi kualiti produksi, kreativiti dan pengalaman penonton.
Pembelian tiket boleh dibeli secara dalam talian bermula dari RM98 hingga RM5,998.