
PETALING JAYA, 5 Mei – Pelakon Nabila Huda melakar kejayaan peribadi apabila merangkul trofi sulung dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi pementasan Masmoona pada Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21 (21BCAA).
- 21BCAA mencipta kejutan apabila Fragments of Tuah dan Setanggi Tari Melayu 2025 diumumkan pemenang Persembahan Terbaik 2025.
- Fragments of Tuah menggunakan pendekatan dokumentari mengangkat semula figura legenda Hang Tuah.
- Setanggi Tari Melayu 2025 memartabatkan keindahan serta nilai seni tari Melayu di pentas moden.
- Anugerah Sepanjang Hayat disampaikan kepada Prof Dr Mohd Anis Md Nor atas sumbangan dalam seni Zapin dan persembahan.
Kejayaan itu sekali gus menandakan langkah baharu Nabila dalam dunia teater yang sebelum ini bukan medan utama buat Nabila Huda.
“Saya memang tidak sangka. Saya masih baru dalam dunia teater dan sangat menghormati mereka yang sudah lama berkecimpung,” katanya.
Pada masa sama, 21BCAA turut mencipta kejutan apabila dua karya teater diumumkan sebagai pemenang kategori utama Persembahan Terbaik 2025, iaitu Fragments of Tuah oleh Five Arts Centre dan Setanggi Tari Melayu 2025 Quintessential Malay Dance oleh ASK Dance Company.
Kedua-dua karya tersebut menewaskan beberapa produksi lain termasuk Animal Farm, TEWAS: No Light at the End of the Tunnel dan Visits.
Fragments of Tuah tampil dengan pendekatan dokumentari yang mengangkat semula figura legenda Hang Tuah, manakala Setanggi Tari Melayu 2025 pula memartabatkan keindahan serta nilai seni tari Melayu di pentas moden.
Selain itu, anugerah Pelakon Utama Terbaik (Teater Muzikal) dimenangi Ileana Matin menerusi School of Rock, The Musical, sementara Pelakon Utama Terbaik (Teater) menjadi milik pelakon Scotland, Kingsley Judd.
Malam tersebut turut menyaksikan penganugerahan Anugerah Sepanjang Hayat BOH Cameronian kepada Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam seni Zapin dan dunia persembahan.
Sebanyak 40 kategori dipertandingkan dalam edisi kali ini melibatkan 81 penyertaan merangkumi teater, muzik, tarian dan teater muzikal. Daripada jumlah itu, 44 produksi berjaya dicalonkan, mencerminkan kepelbagaian dan perkembangan pesat seni persembahan di Malaysia.
Bertemakan ‘COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan’, 21BCAA bukan sahaja meraikan kecemerlangan seni, malah berperanan sebagai platform membentuk masa depan industri kreatif negara dalam era perubahan teknologi dan sosial yang semakin dinamik.