‘Emak’ angkat kisah pengorbanan ibu OKU pendengaran

Drama ini dibarisi pelakon terkenal seperti Safura Yaacob, Hanna Aqeela, Nazia Mustafar, Hushairi Husain, Rahim Omar dan Bella.

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Unit Drama TV bakal menayangkan drama istimewa berjudul “Emak” pada Jun ini, sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menghormati serta memahami emosi kehidupan Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya golongan pekak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Drama mengetengahkan dunia tanpa suara dan bahasa isyarat sebagai seni ekspresif yang menyatukan OKU pendengaran dan masyarakat.
  • Cabaran utama penghasilan ialah membawa watak ibu bisu yang perlu menggunakan bahasa isyarat sepenuhnya untuk menzahirkan emosi.
  • Konflik utama: seorang ibu bisu berusaha mempertahankan perkahwinan anaknya walau hubungan Mariam semakin goyah.
  • Produksi mendapatkan jurubahasa isyarat berpengalaman Mohd Samawi Sulaiman; siaran pada 6 Jun, 9.00 malam di TV1 dan RTMKlik.

Drama ini mengetengahkan dunia tanpa suara dengan memaparkan bahasa isyarat bukan sekadar medium komunikasi, malah sebagai seni ekspresif yang menghubungkan individu OKU pendengaran dengan masyarakat, melangkaui batas kata-kata.

Pengarahnya, Wan Afzam Wan Daud berkata, cabaran utama dalam penghasilan drama tersebut adalah membawakan watak seorang ibu bisu yang memerlukan penggunaan bahasa isyarat secara menyeluruh.

“Isu utama ialah bagaimana fitrah seorang ibu yang cuba mengekalkan perkahwinan anaknya. Konflik paling berat adalah bagaimana seorang ibu yang tidak boleh bercakap cuba menyampaikan bahawa hubungan itu perlu dipertahankan,” katanya.

Drama “Emak” mengisahkan kehidupan sebuah keluarga di pinggir bandar apabila seorang ibu bisu berdepan dilema dalam mempertahankan rumah tangga anaknya, Mariam, yang semakin goyah.

Drama ini dibarisi pelakon terkenal seperti Safura Yaacob, Hanna Aqeela, Nazia Mustafar, Hushairi Husain, Rahim Omar dan Bella.

“Pada awalnya ia kelihatan seperti kisah rumah tangga biasa, namun sebenarnya terdapat pelbagai rahsia yang dirungkai hingga ke penghujung cerita,” kata Hanna.

Sementara itu, pelakon utama, Safura berkata, watak ibu bisu yang dibawanya merupakan antara cabaran terbesar dalam kerjayanya kerana perlu menzahirkan emosi tanpa dialog. Watak ibu bisu yang dibawa merupakan antara cabaran terbesar dalam kerjayanya kerana perlu menzahirkan emosi tanpa dialog.

“Jika masih mempunyai ibu, hargailah mereka. ‘Emak’ adalah sebuah cerita yang sangat istimewa. Cabarannya adalah bagaimana meluahkan rasa duka tanpa suara,” katanya.

Bagi memastikan ketepatan dan keaslian penggunaan bahasa isyarat, pihak produksi turut mendapatkan khidmat jurubahasa isyarat berpengalaman, Mohd Samawi Sulaiman dari Persatuan Orang Pekak Pahang, yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang berkenaan.

Drama ini akan bersiaran pada 6 Jun, pukul 9.00 malam di TV1 serta platform RTMKlik.