Nur Alyssa curi perhatian, juara keirin wanita Siri Trek Asean (Piala Presiden) 1

Pemenang pingat Emas bagi acara Lelaki dan Wanita Elite Keirin Datuk Mohd Azizulhasni Awang (kiri) dan Nur Alyssa Mohd Farid (kanan) bergambar bersama sempena perlumbaan Siri Trek ASEAN Piala Presiden 1 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini / Foto BERNAMA

NILAI, 8 Januari – Pelumba basikal trek negara, Nur Alyssa Mohd Farid, melakar kejutan selepas muncul juara acara keirin elit wanita pada Siri Trek Asean (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nur Alyssa menang keirin elit wanita pada Siri Trek Asean (Piala Presiden) 1 di Velodrom Nasional Nilai.
  • Beliau mencatat masa 11.287 saat, menewaskan rakan senegara Nurul Izzah.
  • Pencapaian datang pada tahun kedua beliau bersama skuad senior, memberi kejutan positif.
  • Nur Alyssa fokus kekal konsisten, meningkatkan prestasi dan sasar pingat pada Siri Trek Asean 2.
  • Azizulhasni terus dominan dalam keirin elit lelaki dengan masa 10.211 saat.

Nur Alyssa, yang baru memasuki tahun keduanya bersama skuad senior, mencatatkan masa 11.287 saat, menewaskan rakan senegara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, di tempat kedua manakala pelumba Hong Kong, Yeung Cho Yiu, menduduki tempat ketiga.

“Saingan sengit yang diberikan Nurul Izzah dan Cho Yiu membolehkan saya beraksi pada tahap maksimum. Mereka beri cabaran yang baik, jadi saya tidak ambil mudah dan berikan yang terbaik untuk podium,” kata Nur Alyssa selepas tamat perlumbaan.

Pelumba muda itu menegaskan fokusnya kini adalah untuk kekal konsisten dan terus memperbaiki prestasi, selain bersedia menghadapi cabaran daripada pelumba lain. Mengenai Siri Trek Asean (Piala Presiden) 2, Nur Alyssa menyasarkan untuk memperoleh pingat serta memperbaiki catatan terbaiknya.

Sementara itu, jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang, meneruskan penguasaannya dalam acara keirin elit lelaki dengan catatan masa 10.211 saat.

Pingat perak dimenangi atlet Indonesia, Dika Alif Dhentaka, manakala gangsa milik To Cheuk Hei dari Hong Kong.

“Perlumbaan di laman sendiri pada awal Tahun Baharu 2026 ini adalah keputusan yang baik dan saya gembira dengan hasilnya. Namun, banyak lagi kerja keras yang perlu dilakukan. Jika dapat kekalkan prestasi tanpa sebarang kecederaan, insya Allah menjelang Sukan Asia saya akan capai prestasi terbaik,” kata Azizulhasni.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.