
BEIJING, 5 Mei – Sekurang-kurangnya 21 terbunuh manakala 61 lagi cedera dalam satu letupan besar di sebuah kilang bunga api di Liuyang, wilayah Hunan, tengah China, pada Isnin.
- Rakaman video tular tunjuk beberapa siri letupan disusuli kepulan asap tebal; dron perlihatkan kawasan berubah menjadi timbunan runtuhan berasap.
- Kerajaan pusat hantar pakar dan lebih 480 anggota penyelamat; zon kawalan tiga kilometer diwujudkan dan penduduk berhampiran dipindahkan.
- Pengurusan kilang ditahan, siasatan dijalankan; Liuyang pusat utama pengeluaran bunga api, insiden keselamatan kilang kerap berlaku.
Menurut penyiar negara CCTV, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.43 petang di Liuyang Huasheng Fireworks Manufacturing and Display Company, sebuah syarikat pengeluaran dan pertunjukan bunga api di kawasan yang terkenal sebagai hab utama industri itu.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa siri letupan berterusan disusuli kepulan asap tebal menjulang tinggi di kawasan luar bandar berlatar belakangkan pergunungan.
Rakaman dron CCTV pada hari berikutnya memperlihatkan kawasan luas bertukar menjadi timbunan runtuhan yang masih berasap, ketika anggota penyelamat bersama jentera pengorek giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Kerajaan pusat China mengerahkan pakar ke lokasi bagi membantu operasi, dengan lebih 480 anggota penyelamat dihantar segera ke kawasan kejadian. Zon kawalan sejauh tiga kilometer turut diwujudkan, manakala penduduk berhampiran dipindahkan.
Polis menahan pihak pengurusan syarikat terbabit, sementara siasatan mengenai punca insiden masih dijalankan.
Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan segala usaha digembleng untuk merawat mangsa, mengesan mereka yang masih hilang serta memastikan pihak bertanggungjawab diambil tindakan.
Liuyang menghasilkan kira-kira 60 peratus bekalan bunga api domestik China dan 70 peratus eksport industri itu, menjadikannya pusat utama pengeluaran bunga api negara berkenaan.
Insiden industri, khususnya membabitkan kilang bunga api, kerap berlaku di China berikutan isu pematuhan standard keselamatan yang lemah. Tahun lalu, satu lagi letupan di kilang bunga api di Hunan meragut sembilan nyawa, manakala beberapa insiden lain di Hubei, Jiangsu dan Tianjin turut mencatatkan korban.-AFP