MATTA gesa pendekatan bersepadu, pacu mobiliti elektrik dalam sektor pelancongan

Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mei– Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa pendekatan bersepadu di peringkat kebangsaan bagi mempercepat penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam sektor pelancongan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyelarasan antara kementerian dan pihak berkepentingan penting untuk impak bermakna dalam elektrifikasi sektor pelancongan.
  • Peralihan ke mobiliti elektrik mesti melibatkan perancangan tenaga, mekanisme kewangan, pembinaan infrastruktur dan tadbir urus pelancongan.
  • Bina ekosistem praktikal supaya pengendali pelancongan boleh gunakan EV dengan yakin, mampu milik dan skala besar.
  • Integrasi tenaga boleh diperbaharui penting supaya pengurangan pelepasan sebenar; Malaysia sudah ada Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Presidennya, Nigel Wong berkata tindakan yang terselaras amat penting untuk membina industri pelancongan yang mampan, berdaya saing dan bersedia untuk masa depan.

”Peralihan ke arah mobiliti elektrik dalam pelancongan perlu dilihat sebagai transformasi sistemik yang melangkaui dasar pengangkutan semata-mata, merangkumi perancangan tenaga, mekanisme kewangan, pembangunan infrastruktur dan tadbir urus pelancongan.”

”Tanpa penyelarasan kukuh antara kementerian dan pihak berkepentingan industri, usaha untuk memperluas penggunaan kenderaan pelancongan elektrik akan kekal tidak tersusun, seterusnya sukar untuk mencapai impak yang bermakna,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, langkah tersebut bukan sekadar menggantikan kenderaan petrol dan diesel, malah melibatkan pembinaan ekosistem praktikal yang membolehkan pengendali pelancongan menggunakan EV dengan yakin, mampu milik dan pada skala besar.

Mengulas lanjut, tindakan terselaras oleh beberapa negara telah berjaya mempercepatkan penggunaan EV dalam sektor pelancongan.

”Norway contohnya, menyediakan ekosistem komprehensif merangkumi insentif, dasar sokongan dan rangkaian pengecasan meluas, termasuk bagi perkhidmatan kereta sewa di laluan pelancongan utama.

”Di China, penyelarasan kukuh membolehkan proses elektrifikasi lebih pesat, khususnya di bandar seperti Shenzhen, di mana keseluruhan armada bas awam telah beralih kepada tenaga elektrik,” jelas beliau.

Ujarnya, Malaysia sudah mempunyai asas kukuh melalui inisiatif seperti Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang menyediakan hala tuju strategik bagi mengurangkan pelepasan dalam sektor pengangkutan sambil menyokong pembangunan ekonomi.

Persatuan itu turut menekankan kepentingan mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui ke dalam ekosistem EV bagi memastikan pengurangan pelepasan benar-benar tercapai dan tidak dipindahkan ke sektor lain.