
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Huawei Digital Power melancarkan penyelesaian FusionSolar9.0 Smart PV & ESS di Malaysia pada 30 April lalu, menandakan peralihan besar daripada sistem solar konvensional kepada infrastruktur tenaga berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang lebih pintar dan stabil.
- FusionSolar9.0 memperkenalkan inovasi dunia seperti inverter string grid-forming, sistem PV 1000Vac dan sokongan kapasiti sehingga 11MW.
- Operasi autonomi berasaskan AI kurangkan kerja tapak, mengoptimum sendiri loji dan tingkatkan hasil tenaga sehingga 20 peratus.
- Komponen utama 506KTL, Smart Transformer Station dan LUNA2000-241 tingkatkan kecekapan, kestabilan serta sokong objektif NETR dan pertumbuhan ekonomi.
Pelancaran itu membawa tema “Intelligence Behind Every Ray” dan menghimpunkan 13 pakar industri teknologi hijau bagi membincangkan masa depan tenaga boleh baharu negara.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Digital Power Huawei Malaysia, Chong Chern Peng, Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050, namun memerlukan teknologi lebih pantas dan pintar.
FusionSolar9.0 memperkenalkan beberapa inovasi pertama dunia, termasuk inverter string grid-forming serta sistem PV 1000Vac, selain menyokong kapasiti sehingga 11MW melalui penemuan teknologi baharu.
Sistem ini turut memanfaatkan AI untuk operasi autonomi dengan keperluan minimum tenaga kerja di lokasi terpencil seperti kawasan pergunungan, terapung dan pulau, di samping keupayaan pengoptimuman kendiri bagi setiap loji.
Antara komponen utama ialah inverter pintar 506KTL, Smart Transformer Station (STS) generasi baharu serta sistem penyimpanan tenaga LUNA2000-241 yang meningkatkan kecekapan dan kestabilan bekalan tenaga.
Dengan penjadualan berasaskan AI, sistem ini mampu meningkatkan hasil tenaga sehingga 20 peratus serta mencapai kecekapan kitaran sebanyak 91.3 peratus, sekali gus mengurangkan kos operasi dan risiko gangguan bekalan.
Selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), sektor tenaga boleh baharu dijangka menyumbang RM220 bilion kepada KDNK dan mewujudkan sehingga 310,000 pekerjaan menjelang 2050.
Sehubungan itu, FusionSolar9.0 dilihat sebagai pemangkin utama ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan.