Bursa Malaysia terajui pasaran IPO ASEAN, catat pemulihan ketara suku pertama 2026

Gambar Fail

KUALA LUMPUR, 4 Mei– Aktiviti dagangan di Bursa Malaysia menunjukkan pemulihan ketara pada suku pertama tahun kewangan 2026 sejajar dengan prospek positif pasaran ekuiti Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketidaktentuan geopolitik akibat konflik Asia Barat mungkin melambatkan momentum jangka pendek tetapi berpotensi mengaktifkan perdagangan dan memberi manfaat kepada Bursa.
  • Keuntungan bersih meningkat 6.4% tahun ke tahun, hasil keseluruhan naik 16.1% didorong oleh hasil dagangan dan bukan dagangan.
  • Malaysia terajui ASEAN dari segi IPO, dana dan permodalan; Bursa mensasarkan ROE 27–30% sambil menampung peningkatan perbelanjaan modal.

MBSB Investment Bank Bhd berkata, ketidaktentuan geopolitik susulan konflik di Asia Barat bagaimanapun berpotensi memperlahankan momentum tersebut bagi jangka pendek.

“Walaupun ketidakstabilan pasaran dijangka berterusan akibat konflik itu tetapi ia dilihat berpotensi menyokong aktiviti pasaran menjadi lebih aktif dan sekali gus memberi manfaat kepada Bursa Malaysia,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Prestasi kewangan bagi tempoh berkenaan menyaksikan keuntungan bersih Bursa Malaysia meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun hasil daripada pertumbuhan pendapatan yang kukuh.

Jumlah hasil keseluruhan melonjak 16.1 peratus, didorong oleh peningkatan hasil dagangan sebanyak 14.7 peratus kepada RM127.6 juta.

Selain itu, hasil bukan dagangan turut mempamerkan prestasi cemerlang dengan pertumbuhan 19.3 peratus kepada RM79.3 juta, dipacu oleh kenaikan yuran penyenaraian tahunan yang menyaksikan perkhidmatan penyenaraian dan penerbit melonjak sebanyak 71 peratus.

Dari aspek aktiviti pasaran, nilai dagangan harian purata (ADV) mencatatkan peningkatan 27 peratus kepada RM3.34 bilion.

Pertumbuhan ini disokong oleh semua segmen pelabur, terutamanya penglibatan institusi tempatan yang menunjukkan lonjakan ketara sebanyak 44.3 peratus.

Prestasi tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju di rantau ASEAN dari segi jumlah tawaran awam permulaan (IPO), dana yang diperoleh serta permodalan pasaran keseluruhan, dengan merekodkan 16 IPO berbanding 14 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bursa Malaysia turut menetapkan sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 27% hingga 30% bagi tahun kewangan 2026 dengan mengambil kira peningkatan perbelanjaan modal dan kos operasi.