
PUTRAJAYA, 4 Mei – Usaha memperkukuh mekanisme subsidi, khususnya melibatkan bahan api, disifatkan sebagai langkah lebih tepat dan proaktif dalam menangani krisis bekalan global.
- Subsidi bersasar membolehkan bantuan disalurkan lebih tepat dan membantu kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3.5% tahun ini.
- Cadangan mengecualikan golongan berpendapatan tinggi membolehkan penjimatan disalur kepada M40 dan B40 demi kesejahteraan rakyat.
- Pemberian subsidi secara pukal menimbulkan kos tinggi sehingga RM5 bilion sebulan, berisiko kenaikan harga barangan dan tekanan inflasi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pendekatan itu juga membolehkan bantuan disalurkan secara lebih bersasar, sekali gus membantu kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3.5 peratus tahun ini.
Menurut beliau, kerajaan dilihat berusaha menangani isu semasa termasuk peningkatan ketara dalam peruntukan subsidi bahan api.
“Pada masa sama, terdapat cadangan supaya golongan berpendapatan tinggi dikecualikan daripada menerima subsidi, bagi membolehkan penjimatan disalurkan kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40).
“Langkah ini penting bagi memastikan kestabilan harga bahan api, khususnya RON95, dapat dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter. Pendekatan ini juga boleh dilaksanakan secara berhemah demi menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi panel perbincangan Razak School of Government Future Focus Series anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Afzanizam berkata pemberian subsidi secara pukal, khususnya dalam situasi krisis semasa, menyebabkan kerajaan menanggung kos subsidi bahan api yang tinggi sehingga mencecah RM5 bilion sebulan.
Jelasnya, sekiranya keadaan itu berterusan, kerajaan mungkin terpaksa menyemak semula harga bahan api bersubsidi.
Menurutnya, tindakan sedemikian berisiko mencetuskan kesan berantai termasuk peningkatan harga barangan dan tekanan inflasi pada masa hadapan.
Sementara itu, mengulas perkembangan ekonomi semasa, beliau berkata peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan kepada 51.6 pada April berbanding 50.7 pada bulan sebelumnya memberi isyarat positif terhadap aktiviti perniagaan.
Namun, katanya, trend peningkatan itu masih bergantung kepada ketidaktentuan faktor luaran termasuk perkembangan konflik di Asia Barat.