PETRONAS Gas bangunkan RGT-3 di Lumut

Foto laman web PETRONAS Gas Berhad

KUALA LUMPUR, 4 Mei – PETRONAS Gas Bhd (PGB) memaklumkan telah menerima surat pemberitahuan daripada Kementerian Ekonomi pada 30 April lalu bagi membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut, Perak (RGT-3).

RINGKASAN BERITA AI
  • RGT-3 menggunakan konsep FSRU, direka kapasiti penyimpanan LNG 170,000 m3 dan regasifikasi 500 mmscfd.
  • Syarikat menyasarkan operasi komersial suku kedua 2029 setelah mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Tenaga.
  • RGT-3 dijangka menyokong tambahan bekalan gas untuk kapasiti loji jana kuasa sekitar 3.5 gigawatt dan dikawal selia mengikut IBR.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, PGB berkata RGT-3 akan menggunakan konsep Unit Penyimpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU).

Menurut syarikat itu, pihaknya turut meneroka potensi pembangunan bersama projek berkenaan dengan rakan strategik.

“Pelbagai penilaian teknikal dan komersial telah dijalankan bagi pembangunan infrastruktur gas baharu berdasarkan unjuran bekalan dan permintaan gas di Semenanjung.

“Berdasarkan penilaian tersebut, syarikat telah mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi pembangunan RGT-3 di Lumut dengan sasaran operasi komersial pada suku kedua 2029,” menurut PGB.

Mengulas lanjut, PGB memaklumkan terminal itu direka dengan kapasiti penyimpanan gas asli cecair (LNG) sebanyak 170,000 meter padu serta kapasiti penghantaran regasifikasi sebanyak 500 juta kaki padu standard sehari (mmscfd).

“RGT-3 dijangka menyokong keperluan tambahan gas bagi kapasiti loji janakuasa sekitar 3.5 gigawatt di Semenanjung.

“Projek ini akan dikawal selia oleh ST, dengan tarif ditentukan berdasarkan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR),” katanya.