
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Aliran pelaburan ke Malaysia terus menunjukkan momentum kukuh dengan sektor teknologi seperti pusat data, elektrik dan elektronik (E&E), serta tenaga hijau menjadi tumpuan utama pelabur ketika ini.
- Perkembangan teknologi global, automasi dan peralihan ke tenaga boleh diperbaharui mendorong minat pelaburan kepada sektor berkaitan.
- Pelaburan dalam sektor terpilih bersifat jangka panjang dan kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan serta krisis global.
- Malaysia mengekalkan daya saing dengan mempelbagaikan rakan dagang dan memperkukuh rantaian bekalan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan.
Ketua Pegawai Eksekutif Strategic Counsel, Hafidzi Razali berkata, minat pelabur terhadap sektor-sektor berkenaan dipacu perkembangan pesat teknologi global, automasi serta peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui.
“Pusat data, sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta tenaga hijau merupakan pelan pelaburan jangka panjang yang kesannya tidak dapat dilihat secara serta-merta.
“Meskipun berdepan ketidaktentuan dan krisis global, aktiviti serta aliran pelaburan dalam sektor-sektor ini masih berterusan dan tidak terhenti.
“Ini menunjukkan pelaburan dalam sektor berkenaan kekal berdaya tahan dan tidak terlalu terkesan susulan perubahan dalam persekitaran makro ekonomi,” katanya ketika ditemui RTM selepas program Bual Biz.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia kekal berdaya saing sebagai destinasi pelaburan menerusi strategi kepelbagaian rakan dagang serta pengukuhan rantaian bekalan bagi mengurangkan risiko ketidaktentuan global.
“Malaysia tidak boleh bergantung kepada satu rakan dagang sahaja dalam menghadapi ketidaktentuan global. Seperti yang berlaku di Selat Hormuz, hanya sekitar 40 peratus bekalan Malaysia terjejas, berbanding sesetengah negara ASEAN yang boleh mencecah sehingga 90 peratus.
“Perkara ini menunjukkan usaha yang telah dilaksanakan Malaysia dalam mengurus risiko rantaian bekalan. Namun ke hadapan, negara perlu terus memperkukuh kerjasama dengan rakan dagang alternatif bagi memastikan kelangsungan bekalan dan kestabilan ekonomi,” katanya lagi.