
KUALA LUMPUR, 5 Mei -Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa, mencerminkan penurunan di Wall Street berikutan ketegangan geopolitik yang kembali memuncak di Asia Barat sehingga menjejaskan sentimen pelabur, kata seorang penganalisis.
- Ketegangan baharu antara Iran dan UAE menjejaskan sentimen, menaikkan harga minyak Brent kepada AS$114 dan meningkatkan hasil bon AS.
- Pasaran menyeluruh negatif; 247 kaunter rugi mengatasi 158 untung, 313 tidak berubah, 1,914 tidak diniagakan.
- Sektor hartanah meningkat selepas Morgan Stanley menambah unjuran; pelabur optimis menjelang laporan pendapatan korporat bulan ini.
Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.78 mata atau 0.16 peratus kepada 1,736.99 daripada 1,739.77 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.97 mata kepada 1,737.80.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 247 kaunter rugi mengatasi 158 kaunter untung manakala 313 kaunter tidak berubah, 1,914 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 171.58 juta saham bernilai RM107.04 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih rendah apabila ketegangan baharu tercetus antara Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggambarkan ketidakstabilan di Asia Barat.
Perkembangan ini menyebabkan harga minyak mentah lebih tinggi dengan minyak mentah Brent mencecah AS$114 setong, manakala hasil 10 tahun AS meningkat sedikit pada 4.432 peratus.
Sebaliknya, sektor hartanah menerima rangsangan selepas Morgan Stanley menaikkan unjuran harga hartanah.
“Di peringkat tempatan, FBM KLCI mengekalkan prestasi kukuhnya apabila ia ditutup pada paras menghampiri 1,740 semalam.
“Pembelian adalah menyeluruh, menunjukkan pelabur optimis mengenai laporan pendapatan korporat Malaysia bulan ini. Oleh itu, untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berada dalam julat 1,730 hingga 1,750,” katanya kepada Bernama.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut emapat sen kepadaRM11.24, Public Bank dan Tenaga Nasional merosot dua sen masing-masing kepada RM4.73 dan RM14.78, IHH Healthcare berkurangan tujuh sen kepada RM8.80, manakala CIMB menambah satu sen kepada RM7.70.
Bagi saham paling aktif, Capital A dan Zetrix AI susut satu sen masing-masing kepada 42 sen dan 85 sen, AirAsia X berkurangan tiga sen kepada RM1.20 da Industronics merosot setengahh sen kepada dua sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Dutch Lady Milk Industries naik 48 sen kepada RM33.00, United Plantations meningkat 32 sen kepada RM30.84, Fraser and Neave Holdings melonjak 20 sen kepada RM30.22 dan Petronas Dagangan menokok 12 sen kepada RM20.22.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle susut 70 sen kepada RM103.10, Malaysian Pacific Industries merosot 20 sen kepada RM37.80, Petronas Gas berkurangan 10 sen kepada RM17.90 dan Apollo Food menguncup sembilan sen kepada RM5.81.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 24.34 mata kepada 12,824.43, Indeks FBM Top 100 merosot 22.77 mata kepada 12,666.27, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 15.92 mata kepada 12,808.53, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 43.61 mata kepada 18,221.60 dan Indeks FBM ACE merosot 20.79 mata kepada 4,615.27.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 0.62 mata kepada 838.33, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.61 mata kepada 196.83 dan Indeks Perladangan menokok 5.45 mata kepada 8.979.22, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 41.59 mata kepada 20.048.73. – BERNAMA