Waspada penyakit malaria monyet

Malaria monyet ditularkan daripada monyet kepada manusia melalui gigitan nyamuk.

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Orang ramai dinasihat untuk lebih peka terhadap gejala awal penyakit malaria monyet dan mendapatkan rawatan segera bagi membendung penularannya di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaria monyet disebabkan Plasmodium knowlesi, ditularkan daripada monyet kepada manusia melalui gigitan nyamuk.
  • Tempoh inkubasi tujuh hingga 15 hari; rawatan antimalaria awal tiga hingga lima hari mampu menyembuhkan.
  • Gejala termasuk demam mengigil, sakit kepala, sakit badan dan keletihan; kelewatan rawatan boleh sebabkan kerosakan buah pinggang dan hati.

Menurut Pakar Penyakit Berjangkit Pusat Pakar Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar, kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk kerosakan organ seperti buah pinggang dan hati yang mengambil masa lama untuk pulih.

Pakar Penyakit Berjangkit Pusat Pakar Universiti Malaya, Prof Dr Sasheela Sri La Sri Ponnampalavanar.

“Tempoh inkubasi bagi malaria Plasmodium knowlesi adalah antara tujuh hingga 15 hari selepas gigitan nyamuk.

“Rawatan awal dengan ubat antimalaria biasanya mengambil masa tiga hingga lima hari dan mampu menyembuhkan pesakit sepenuhnya jika diberikan sebelum komplikasi berlaku,” katanya yang ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia.

Prof Dr Sasheela menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia.

Jelasnya, malaria monyet ialah jangkitan yang disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi, ditularkan daripada monyet kepada manusia melalui gigitan nyamuk.

Sekiranya dijangkiti, pesakit akan mengalami gejala seperti demam mengigil, sakit kepala, sakit badan serta keletihan.

Terdahulu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, Sabah merekod 375 kes malaria monyet dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan satu kematian dilaporkan.