
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjalin kerjasama strategik dengan Pusat Promosi Import dari Negara Membangun (CBI) bagi mempertingkatkan keupayaan eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
- Penyepaduan risikan pasaran Eropah CBI dengan platform digital MATRADE meningkatkan akses maklumat pasaran.
- Akses risikan berkualiti perkuatkan keupayaan PKS mengeksport produk bernilai tambah dan khusus ke pasaran Eropah.
- Inisiatif sediakan sumber komprehensif termasuk kajian pasaran, berita terkini dan webinar untuk sektor pertanian, pengguna dan perkhidmatan.
Menurut MATRADE, kerjasama digital itu membolehkan pihaknya menyepadukan sumber dari Risikan Pasaran (MI) Eropah CBI dengan Platform Perdagangan Digital (MDTP) MATRADE.
CBI berperanan sebagai pusat penggalakan pengeluaran mampan dan perdagangan antara pasaran pesat membangun dengan Netherlands serta Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, usaha itu bertujuan memperkasakan PKS dan pengeksport Malaysia dengan maklumat pasaran penting untuk menyokong pengembangan ke pasaran Eropah.

”Akses kepada risikan pasaran Eropah yang berkualiti dan boleh dipercayai ini akan memperkukuh keupayaan PKS Malaysia untuk mengeksport produk bernilai tambah dan khusus ke Eropah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif itu turut menyediakan akses kepada pelbagai sumber komprehensif termasuk kira-kira 250 kajian pasaran, 30 berita terkini dan 25 webinar yang dihasilkan oleh CBI setiap tahun, dengan tumpuan kepada sektor utama seperti pertanian, produk pengguna dan perkhidmatan.